Pada penghujung Oktober 2012,
syarikat gergasi Microsoft telah melancarkan Windows 8, sistem operasi yang
direka untuk membawakan evolusi kepada penggunaan PC serta pada masa yang sama
membawakan pengoptimasian sepenuhnya bersama-sama dengan peranti skrin sentuh.
Hanya selepas 12 bulan selepas pengenalan Windows 8 Release Preview, nampaknya
Microsoft komited dalam pembangunan Windows secara pantas dan pihak Microsoft
kini hadir dengan pengenalan Windows 8.1 Preview untuk memenuhi tuntutan
pemodenan dunia pengkomputeran.
Dengan menggunakan kod nama ‘Windows
Blue’ pada permulaannya, Windows 8.1 direka untuk menambahbaik fungsi serta
pengalaman pengguna yang sedia ada pada Windows 8. Arbitrari yang dilakukan
mendapati bahawa syarikat gergasi dari Redmond ini membawakan perubahan
signifikan pada Windows 8.1 seperti mana yang telah diumumkan pada persidangan
Build 2013 yang lalu. Kini tibalah giliran kami di Amanz untuk membawakan
ulasan penuh mengenai Windows 8.1 Preview.
Start Screen
Fungsi Start Screen pada Windows 8.1
Preview telah diberikan tetapan baru yang mana pengguna boleh menetapkan
wallpaper pada desktop untuk digunakan pada latar belakang Start Screen. Fungsi
ini dikira amat menarik dalam menjadikan Start Screen kelihatan lebih segar dan
dramatik disamping pengguna boleh menggunakan latar belakang yang sedia ada
seperti mana yang hadir pada Windows 8.
Tetapan untuk mengubah latar belakang
Start Screen pada Windows 8.1 Preview juga telah dipermudahkan dan pengguna
tidak lagi dibawa ke satu paparan baru untuk mengubahnya. Pengguna hanya perlu
ke Settings pada Charm Bar, seterusnya klik pada Personalize dan tetapan
mengubah warna tema dan latar belakang Start Screen muncul dengan serta merta
pada bahagian kanan skrin.
Selain kebolehan untuk menetapkan
wallpaper desktop pada latar belakang Start Screen, Windows 8.1 Preview juga
hadir dengan kebolehan mengubah saiz tile kepada saiz Small, Medium, Wide, dan
Large. Pada Windows 8, saiz tile hanya boleh diubah kepada saiz Medium dan Wide
sahaja dan perkara ini menyekat kebebasan pengguna untuk mengubah saiz tile,
lebih-lebih lagi icon aplikasi desktop yang kelihatan agak tidak menarik jika
dibiarkan pada tile yang bersaiz besar.
Kehadiran Semula Start Button
Salah satu fungsi legasi Windows
sejak sekian lama ialah butang Start Button yang menjadi fungsi ikonik Windows
sejak Windows 95. Sejak pengenalan Windows 8, fungsi ini dibuang kerana ia
telah digantikan dengan thumbnail kecil pada penghujung bawah kiri skrin untuk
ke Start Screen. Pembuangan fungsi ini telah mengakibatkan sesetengah pengguna
baru Windows 8 berasa janggal dan kekok sekaligus mengurangkan kadar mesra
pengguna pada sistem operasi Windows. Oleh disebabkan itu, Microsoft telah
menghadirkan semula fungsi Start Button ini bersama-sama dengan Windows 8.1.
Kehadiran semula Start Button ini
dilihat positif kerana membantu pengguna baru untuk mengakses fungsi tersebut
dengan lebih mudah lagi. Walau bagaimanapun, fungsi Start Button pada Windows
8.1 Preview tidak hadir dengan fungsi Start Menu seperti mana yang ada pada
sistem operasi Windows sebelum ini. Apabila pengguna menekan butang Start
Button pada sistem operasi ini, ia akan dibawa ke Start Screen semula. Namun
begitu, pengguna boleh mendapatkan pengalaman seakan Start Menu dengan
menetapkan tetapan daripada Start Screen ke All Apps apabila Start Button
ditekan.
Pada paparan All Apps, pengguna
diperlihatkan dengan senarai penuh aplikasi yang berada di komputer termasuk
aplikasi desktop. Melalui Windows 8.1 Preview, pengguna juga boleh menetapkan
aplikasi yang mana perlu dipaparkan terlebih dahulu melalui pilihan tetapan
seperti ‘by name’, ‘by date installed’, ‘by most used’, dan ‘by category’.
Windows Store
Selain penambahbaikan kawalan Start
Screen serta kehadiran Start Button pada desktop, fungsi yang turut diberi
perhatian Microsoft ialah Windows Store. Antara perkara yang diberi perhatian
ialah antara-muka Windows Store kini telah diberi nafas baru bersama-sama
dengan Windows 8.1 Preview. Antara-muka baru ini dilihat lebih memudahkan
pengguna untuk mencari aplikasi sekaligus memudahkan pembangun aplikasi
memasarkan aplikasi mereka pada Windows Store.
Lock Screen
Paparan lock screen pada Windows 8 membawakan paparan yang kemas serta
menarik dan kini pihak Microsoft memberi penambahbaikan pada fungsi tersebut.
Pada Windows 8.1 Preview, pengguna boleh menetapkan fungsi slide show pada
paparan lock screen selain menggunakan satu gambar sahaja seperti mana yang
digunakan pada Windows 8. Apabila fungsi slide show diaktifkan pada versi
Windows terbaru ini, pengguna akan dihidangkan dengan tiga gambar yang berlainan
yang ditayangkan serentak pada paparan lock screen.
Selain daripada itu, lock screen pada
Windows 8.1 Preview turut membawakan akses pantas untuk ke fungsi kamera.
Pengguna hanya perlu menatal paparan lock screen dari atas ke bawah untuk
mengaktifkan fungsi ini. Selain itu, satu lagi fungsi yang turut sama hadir
adalah kebolehan menjawab panggilan Skype terus daripada lock screen tanpa
perlu membuka paparan lock screen terlebih dahulu.
Carian
Integrasi Bing Search
Salah satu fungsi menarik yang hadir pada Windows 8.1 Preview adalah
pengintegrasian Bing Search secara sepenuhnya pada sistem operasi Windows.
Pengintegrasian ini membolehkan carian dibuat serta merta daripada fungsi
Search pada Windows tanpa perlu menggunakan pelayar web. Perkara ini dilihat
membantu pengguna untuk mencari maklumat dengan lebih pantas selain menggunakan
kaedah lama iaitu melalui laman web untuk menjalankan carian.
Selain daripada itu, fungsi carian
ini turut hadir dengan hasil carian yang telah disesuaikan dengan carian
pengguna dalam satu paparan yang begitu menarik. Apabila pengguna terlintas
untuk mencari maklumat tentang seseorang, Bing Search akan memberikan hasil
carian dalam satu paparan menarik bersama-sama dengan biodata, gambar, video,
senarai lagu, dan senarai laman web yang berkaitan dengan carian itu.
Penambahbaikan Carian Terbina
Pada Windows 8, carian terbina pada
sistem operasi ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu ‘Apps’, ‘Files’, dan
‘Settings’. Perkara ini membuatkan pengguna berasa agak leceh dan perlu menekan
salah satu tetapan carian tersebut untuk memaparkan carian yang berlainan.
Dengan pengenalan Windows 8.1
Preview, fungsi carian dihadirkan dengan satu tetapan sahaja iaitu dengan
tetapan carian ‘Everywhere’. Tetapan ini membolehkan carian seperti ‘Apps’,
‘Files’, dan ‘Settings’ dipaparkan dalam satu paparan carian sahaja tanpa perlu
menekan tetapan lain seperti sebelum ini.
Aplikasi
Sound Recorder, Calculator, dan
Alarms
Dengan penggunaan Windows 8 yang semakin meluas pada komputer tablet, kemas
kini Windows 8.1 Preview turut hadir dengan fungsi asas dalam bentuk aplikasi
Modern seperti sound recorder, calculator, dan alarms. Sebelum ini, aplikasi
asas ini hanya tersedia dalam bentuk aplikasi desktop dan tidak beberapa begitu
intuitif bagi penggunaan paparan skrin sentuh.
Bing Health & Fitness
Selain daripada aplikasi asas, pihak
Microsoft turut sama menekankan aplikasi yang berasaskan kesihatan dengan
pengenalanan aplikasi Bing Health & Fitness. Aplikasi ini membolehkan
pengguna melihat dan mengemaskini cara pemakanan harian mereka melalui fungsi
Diet Tracker selain melihat tips penjagaan dan berita kesihatan yang dibekalkan
melaluinya. Apabila seseorang menghidapi serangan penyakit, pengguna boleh
menggunakan fungsi Symptoms Checker yang tersedia pada aplikasi Health &
Fitness ini. Selain itu, aplikasi ini turut hadir dengan pengeksplorasi anggota
badan manusia dalam bentuk 3D dan bagi yang gemar mengikuti senaman gym,
aplikasi ini turut menyediakan senarai aktiviti semasa ‘workout’ serta
‘exercises’ yang berguna untuk dijadikan panduan kepada pengguna.
Bing Food & Drink
Pihak Microsoft juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan aplikasi Bing Food & Drink untuk panduan resepi serta sebagai satu alat pengurusan makanan yang dikira amat sesuai digunakan terutamanya oleh golongan suri rumah. Aplikasi ini membolehkan pengguna membuat perancangan untuk masakan seterusnya selain kebolehan untuk menambah resipi baru padanya. Beberapa senarai resipi makanan turut disediakan pada aplikasi ini dan apa yang menariknya, ia turut hadir dengan kebolehan gesture untuk pergi ke halaman seterusnya tanpa menyentuh skrin. Perkara ini dijayakan dengan melabai tangan di hadapan kamera komputer untuk menavigasi halaman aplikasi sekaligus mengelakkan tangan pengguna menyentuh skrin ketika sedang sibuk menyediakan makanan.
Reading List
Satu fungsi menarik yang turut hadir
bersama pada Windows 8.1 Preview ialah aplikasi Reading List yang membolehkan
pengguna mengumpulkan senarai bacaan daripada pelayar web untuk dibaca kemudian
dalam satu bentuk aplikasi yang mudah. Fungsi ini dapat membantu pengguna untuk
menyimpan dan menyusun atur senarai bacaan yang berguna dalam satu aplikasi dan
boleh dibaca semula sebagai rujukan pada masa-masa yang akan datang.
Xbox Music dengan Sokongan ‘Radio’
dan Pengstriman Percuma
Sebelum ini kita mungkin telah sedia mendengar Spotify, satu perkhidmatan
yang membolehkan kita mendengar lagu secara percuma pada desktop. Kini, Xbox
Music pada Windows 8.1 Preview turut hadir dengan perkhidmatan yang lebih
kurang sama seperti Spotify yang mana membenarkan pengguna memainkan kesemua
lagu secara percuma dengan sokongan iklan padanya.
Antara muka Xbox Music turut diberi
nafas baru dan kini ia kelihatan lebih kemas berbanding sebelum ini. Sejumlah
besar antara muka Xbox Music pada Windows 8.1 Preview telah diberi fokus dengan
fungsi ‘radio’ dan pengstriman percuma yang mana sejumlah besar lagu ‘streaming’
kegemaran pengguna dimuatkan dalam satu paparan ‘Collection’. Sama seperti
Spotify, aplikasi ini turut hadir dengan kebolehan membawa masuk playlist
daripada komputer pengguna dan Xbox Music akan memadankan lagu yang sedia ada
berada di ‘cloud’ dengan playlist pengguna tersebut.
Lain-lain
penambahbaikan
Penambahbaikan Fungsi Snap View
Melalui Windows 8.1 Preview, fungsi Snap View telah diberi peningkatan yang
mana aplikasi kini boleh di’snap’ pada kadar yang berlainan seperti 50/50 dan
40/60 berbanding sebelum ini 30/70. Penambahbaikan ini membolehkan pengguna
menjalankan aplikasi Modern secara penuh walaupun disnap pada 50% atau 40%
paparan skrin.
Pada paparan resolusi tinggi, Snap
View pada Windows 8.1 Preview turut membolehkan lebih banyak aplikasi disnap
dalam satu-satu masa berbanding di Windows 8 yang hanya terhad kepada dua
aplikasi. Contohnya pada paparan 1600×900, fungsi ini membolehkan tiga aplikasi
disnap dalam satu paparan skrin pada kadar 30/30/40.
Selain itu, fungsi Snap View kini
boleh dijalankan pada skrin yang beresolusi 1024×768 berbanding di Windows 8
yang memerlukan resolusi minima 1366×768 untuk menjalankan fungsi ini.
Pengenalan resolusi minima 1024×768 ini dapat memberi ruang kepada pengeluar
untuk menghasilkan tablet Windows yang lebih kecil seperti saiz 7 dan 8-inci.
Tetapan Boot-to-Desktop
Antara kritikan pengguna desktop
mengenai Windows 8 adalah tiada tetapan untuk boot terus ke desktop yang mana
pengguna terpaksa di bawa ke Start Screen terlebih dahulu sebelum ke paparan
desktop. Perkara ini membuatkan ramai yang memasang aplikasi pihak ketiga untuk
membolehkan Windows untuk terus ke desktop selepas proses boot tanpa dihidangkan
dengan paparan Start Screen.
Menyedari hakikat ini, Microsoft kini
menampilkan tetapan boot-to-desktop ini bersama-sama dengan Windows 8.1
Preview. Fungsi ini tidak ditetapkan secara default dan pengguna boleh
mengaktifkannya dengan membuat right click pada taskbar dan klik pada
‘Properties’. Satu window baru akan muncul dan klik pada tab ‘Navigation’. Dari
situ pengguna boleh menetapkan tetapan boot-to-desktop dengan menandakan pada
kotak ‘Go to desktop instead of Start when I sign in’.
Internet Explorer 11
Selain sistem operasi, pembangunan
pantas Microsoft turut disaksikan bersama dengan pelayar Internet Explorer yang
kini telah mencapai versi ke-11 pada Windows 8.1 Preview.
Internet Explorer 11 hadir dengan
beberapa fungsi baru seperti smooth scrolling yang menjadikan paparan scrolling
pada pelayar web ini lebih menarik selain beberapa fungsi di belakang tabir
seperti WebGL yang turut disertakan bersama. Untuk ujian HTML 5 daripada
halaman html5test.com, Internet Explorer 11 Preview pada Windows 8.1 Preview
berjaya mencatatkan bacaan sebanyak 355 mata.
Tiada sebarang perubahan antara-muka
dibuat pada Internet Explorer 11 Preview versi desktop dan pada versi Modern,
ada sedikit perubahan dari segi kawalan tab. Kedudukan tab pada Internet
Explorer versi ini telah berada bersama-sama dengan URL bar di bahagian bawah
skrin berbanding sebelum ini yang berada di bahagian atas skrin.
Fungsi Pengeditan Gambar Secara
Terbina
Windows 8.1 Preview turut didatangkan
dengan sokongan pengeditan gambar secara terbina pada aplikasi Photos. Fungsi
ini hadir dengan alatan penyuntingan gambar yang dikira agak menarik seperti
kebolehan untuk menetapkan fokus pada gambar. Selain daripada fungsi tersebut,
turut hadir bersama dengan aplikasi ini kebolehan untuk mengubah warna, cahaya,
crop, rotate, pembuangan red eye, dan auto fix.
Aplikasi Kamera Hadir dengan Fungsi
Photosphere
Microsoft turut mengambil langkah
untuk meningkatkan pengalaman pengguna pada fungsi kamera dengan menghadirkan
fungsi Photosphere dalam Windows 8.1. Fungsi ini membolehkan pengguna menangkap
gambar dalam bentuk 360 darjah dengan hanya menggerakkan kamera yang berada
pada peranti berpandukan panduan yang tertera pada paparan skrin.
“My Computer”, “Computer”, dan kini
“This PC”
Sejak pengenalan Windows 95 sehingga Windows XP, istilah ‘My Computer’
telah digunakan untuk memaparkan beberapa peranti yang berada di komputer
selain membuat perubahan setting melaluinya. Pada Windows Vista sehingga
Windows 8, istilah digantikan dengan “Computer” sahaja dan fungsinya masih sama
seperti sebelumnya.
Pada Windows 8.1 Preview, istilah
berubah kepada “This PC” memandangkan zaman ini komputer bukan sahaja hadir
dalam bentuk PC malah dalam bentuk form-factor yang lain. Oleh sebab yang
demikian, istilah “Computer” tidak lagi digunakan bermula Windows 8.1 ini dan
digantikan dengan istilah “This PC” yang dikira lebih sesuai dengan era kini.
Fungsinya juga tidak jauh beza daripada sebelumnya cuma ada beberapa perubahan
dilihat daripada fungsi ini. Kini “This PC” tidak lagi hanya memaparkan peranti
yang berada pada komputer sebaliknya turut hadir bersama-sama dengan folder
pengguna.
PC Settings yang Diperbaharui
Dengan lambakan Windows 8 pada
peranti tablet dan peranti skrin sentuh, mengawal tetapan pada Control Panel
tidak beberapa efisien pada peranti jenis ini kerana antara mukanya lebih
kepada penggunaan desktop. Pada Windows 8.1 Preview, hampir kesemua tetapan
utama telah dimasukkan dalam PC Settings dan pengguna boleh menetapkan beberapa
tetapan seperti resolusi, melihat status activation pada Windows terus dari PC
Settings yang dioptimasikan untuk paparan skrin sentuh.
Sokongan 3D Printing
Sejak akhir-akhir ini, trend 3D
printing semakin mendapat perhatian daripada pengguna dan perkara ini sedikit
sebanyak menarik minat pengeluar untuk menghasilkan pencetak 3D untuk pasaran
umum. Pada Build 2013, Microsoft mengumumkan Windows 8.1 adalah platform yang
pertama di dunia yang hadir dengan sokongan 3D Printing ini. Melaluinya
pengguna boleh melihat terlebih dahulu bagaimanakah rupa bentuk 3D yang bakal
dicetak terus dari paparan peranti Windows 8.1.
Sokongan Paparan Berpiksel Tinggi
Selain daripada 3D printing, turut
sama mengikut trend kini adalah kehadiran peranti dengan paparan berpiksel
tinggi pada pasaran umum. Melalui Windows 8.1 Preview, pihak Microsoft telah
menyertakan sokongan paparan berpiksel tinggi secara natif dalam Windows ini
tanpa perlu mendapatkan pihak pembangun aplikasi mengubah apa jua jenis tetapan
terlebih dahulu.
Kebolehan Mengawal Tetapan Tetikus &
Touchpad Gesture
Sejak pengenalan sistem operasi
Windows 8, setiap penjuru skrin didatangkan dengan fungsi yang berbeza seperti
Charm Bar apabila kursor diletakkan di kawasan tersebut. Selain mengguna kursor
dengan tetikus, touchpad juga berperanan dalam mengeluarkan fungsi Charm Bar
selain kebolehan menukar aplikasi lain dengan kawalan gesture. Perkara
ini kadang kala membuatkan pengguna tidak selesa kerana mengeluarkan fungsi
Charm Bar secara tidak sengaja atau terlakukan gesture untuk mengubah aplikasi
ketika menggunakan touchpad.
Bagi pengguna yang tidak berasa
senang dengan fungsi ini, tetapan tetikus & touchpad gesture boleh
diubah melalui PC Settings dan klik pada PC & Devices. Apabila paparan PC
& Devices muncul pada paparan, klik pada Mouse & Touchpad untuk
mengubah kawalan gesture.
Integrasi Skydrive pada Desktop
Sebelum pengenalan Windows 8.1
Preview, fungsi Skydrive pada Windows 8 hanya terhad pada antara-muka Modern
dan pengguna perlu memasang aplikasi yang berlainan untuk versi desktop. Pada versi
Windows terbaru ini, Skydrive untuk desktop didatangkan secara default dan
melaluinya pengguna boleh mengurus fail terus menerus daripada File Explorer
dengan mudah.
Pandangan Editor
dan Konklusi
Motif Pengeluaran Kemas Kini Windows
8.1
Secara tipikalnya, mungkin ramai yang
merasakan kehadiran Windows 8.1 seolah-olah hanya untuk mengembalikan fungsi
Start Button yang sekian lama menjadi ‘trademark’ dan fungsi legasi pada sistem
operasi Windows. Bermain-main dengan Windows 8.1 selama beberapa hari, secara
peribadi, editor merasakan Windows 8.1 dicipta jauh lebih dari perletakkan
Start Screen itu sendiri dan cukup jelas kelihatan di sini Microsoft komited
untuk memberi penambahbaikan yang signifikan terutamanya dari segi
penambahbaikan pengalaman dan kadar mesra pengguna.
Beberapa fungsi di dalam Windows 8.1
Preview telah diberi penaiktarafan seperti Start Screen yang kini hadir dengan
tetapan yang lebih bebas untuk keselesaan pengguna. Selain daripada Start
Screen, Microsoft juga turut menambahbaik ‘hidden features‘ yang
menyukarkan pengguna pada awalnya kepada yang lebih mudah dilihat daripada
pandangan pengguna. Perkara ini boleh diambil contoh daripada perletakkan
butang All Apps yang kini sudah kelihatan pada bahagian bawah Start Screen dan
pengguna tidak lagi perlu untuk menekan right click yang agak tersorok pada
Windows 8. Premis ini membuktikan Microsoft mahu menjadikan Windows 8.1 lebih
mesra pengguna dan mudah digunakan untuk kesemua golongan khususnya golongan
yang berusia.
Pada pandangan lain, Microsoft juga
ingin menyelamatkan Windows 8 dengan kemas kini Windows 8.1 untuk menarik
kembali golongan pejabat yang mahukan pengalaman pengkomputeran yang pantas
tanpa sebarang gangguan. Pandangan editor sendiri, antara muka Modern dan cara
penggunaan Windows 8 tidak beberapa sesuai digunakan pada pejabat dan institusi
pendidikan kerana sedikit sebanyak akan mengurangkan kadar produktiviti. Oleh
disebabkan itu, kita dapat lihat ramai golongan pejabat masih setia untuk
menggunakan Windows 7. Sistem operasi Windows keluaran 2009 itu masih digunakan
kerana tiada Start Screen yang melecehkan bagi sesetengah pengguna dan sejumlah
besar pengguna juga masih mahukan akses pantas Start Menu.
Jadi, bagaimana Windows 8.1 dapat
kembalikan golongan pejabat ini?
Dengan pengenalan fungsi boot-to-desktop, pengguna dapat mengelakkan
antaramuka Start Screen daripada muncul selepas proses boot dan terus ke
desktop seperti mana yang dilakukan pada Windows 7. Perletakkan semula Start Button
pada mod desktop sedikit sebanyak membantu untuk mengembalikan ‘look and feel’
Windows 7 walaupun ia tidak hadir dengan akses pantas Start Menu. Namun yang
demikian, pengguna boleh mendapatkan akses pantas ala Start Menu dengan
mengubah tetapan untuk memaparkan paparan All Apps sahaja selain ke Start
Screen pada kebiasaannya apabila Start Button pada Windows 8.1 ditekan.
Tetapan ini boleh diubah dengan
membuat ‘right click’ pada taskbar dan klik pada ‘properties’. Apabila window
‘Taskbar & Navigation Properties’ muncul pada paparan, klik pada tab
‘navigation’ dan tandakan pada tetapan yang anda mahukan.
Prestasi dan Stabiliti untuk versi
Preview
Secara peribadi, kepantasan Windows
8.1 Preview secara umumnya sangat pantas seperti mana versi akhir Windows 8 dan
editor tidak mempunyai sebarang masalah menggunakannya sejak hari pertama
Windows 8.1 Preview dilepaskan pada pengguna umum.
Kadar masa proses pemasangan Windows
8.1 Preview melalui kaedah ‘upgrade’ pun tidak mengambil masa yang lama dan
kurang dari satu jam, komputer editor telah dinaik taraf ke Windows 8.1 Preview
secara sepenuhnya. Apa yang menarik lagi, proses pemasangan ‘clean install’
Windows 8.1 Preview ternyata jauh lebih pantas daripada pemasangan Windows 8
dengan catatan masa kurang dari 20 minit pada komputer Intel Pentium Dual-Core
dengan memori 2GB dan storan dalaman menggunakan HDD SATA biasa.
Dari segi stabiliti umum Windows 8.1
Preview juga kelihatan amat baik dan tidak menunjukkan sebarang permasalahan
crash ketika menggunakan sistem operasi ini secara seharian. Walau
bagaimanapun, stabiliti Internet Explorer 11 Preview pada versi desktop masih
lagi tidak memuaskan dan editor kerap kali menerima masalah crash ketika
membuka sesetengah laman sesawang. Untuk makluman umum, permasalahan crash pada
Internet Explorer 11 hanya melibatkan satu tab sahaja dan tab lain tidak
terkesan.
Ketidakhadiran Fungsi Windows
Experience Index (WEI)
Fungsi yang diperkenalkan sejak Windows Vista ini membolehkan pengguna
melihat ‘rating’ yang diberikan oleh Windows untuk perkakasan yang digunakan
pada komputer. Pada versi Windows 8.1 Preview ini fungsi Windows Experience Index
tidak menunjukkan kehadiran pada bahagian Properties “This PC” seperti Windows
sebelum ini dan masih tidak diketahui adakah fungsi ini akan dibuang secara
rasmi pada versi akhir kelak memandangkan lebih banyak peranti berspesifikasi
rendah bakal hadir bersama-sama dengan Windows versi ini.
Windows 8.1 Preview: Panduan
Pemasangan
Bagi yang gemar mencuba perkara baru,
Windows 8.1 Preview sememangnya berbaloi untuk dicuba dan ia akan membawa
pengguna ke satu dimensi baru Windows yang tidak pernah anda kecapi sebelum
ini. Kepantasan dan elemen tarikan sistem operasi Microsoft ini cukup
menampilkan nilai keterujaan dalam menggunakan sistem operasi Windows 8.1
Preview ini secara seharian.
Windows 8.1 Preview boleh dipasang
pada Windows XP, Vista, 7, serta Windows 8 dan sistem operasi percubaan ini
ditawarkan secara percuma oleh pihak Microsoft bersama-sama dengan fail
pemasangan ISO dan key percubaan selama beberapa bulan.
Untuk panduan kemas kini ke versi
Windows 8.1 Preview, beberapa perkara perlu diketahui sebelum mencuba Windows
8.1 versi Preview ini. Sebagai langkah awal, perlu diingatkan sebarang
penaiktarafan yang berjaya ke Windows 8.1 Preview tidak boleh diturun taraf
semula ke sistem operasi Windows sebelumnya.
Bagi pengguna Windows XP dan Vista, penaiktarafan ke Windows 8.1 Preview
ini tidak akan menyimpan fail dan data peribadi serta aplikasi yang berada pada
komputer Windows anda. Segala penaiktarafan dilakukan secara automatik dengan
kaedah ‘clean install’, bermakna, kesemua data anda akan dihapuskan dengan
serta merta. Bagi pengguna Windows 7, hanya fail peribadi anda sahaja akan
disimpan dan segala aplikasi yang dipasang pengguna akan dibuang semasa proses
pemasangan.
Bagi pengguna Windows 8, pengguna
dinasihatkan untuk menyimpan key Windows 8 asal sebelum menaik taraf ke Windows
8.1 Preview. Ini berikutan kerana Windows 8.1 Preview adalah percuma dan untuk
menaik taraf ke versi akhir, pengguna perlu memasang semula Windows 8 sebelum
boleh menaik taraf ke versi Windows 8.1 akhir kelak. Berlainan pula dengan
Windows RT, setiap pemasangan Windows RT 8.1 Preview yang berjaya boleh dinaik
taraf ke versi akhir Windows 8.1 tanpa sebarang masalah.
Untuk mengelakkan sebarang kesulitan,
pasang Windows 8.1 Preview secara dual-boot atau gunakan aplikasi
virtualization seperti VMware atau VirtualBox untuk proses pemasangan.
sumber: http://amanz.my/2013/07/ulasan-windows-8-1-preview/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar